Review Filem Mantera



Filem:
Mantera


Pengarah:
Mohd Aliyar Al-Kutthy


Genre:
Fiksyen Sains & Aksi


Pelakon:
Shah Inderawan(Tomok), Shiqin Kamal, Kamaliya, Wael Al-Masri,
Yank Kassim, Said Dashuk-Nighmatulin, Faezah Elai & Etc.


Tarikh Tayangan:
17 Mei 2012


Penilaian:
4 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Azman yang telah terpilih untuk mengaktifkan sebuah prototaip yang diberi nama 'Mantera' yang boleh mengubah motosikalnya menjadi sebuah perisai badan yang canggih. Teknologi ini telah dicipta oleh seorang saintis yang bekerja untuk Weston Technologies iaitu Dr.Natasya Irina Pushkin. Bagaimanapun apabila dia sedar  rekaannya akan disalahgunakan oleh Sam Weston yang merupakan pemilik Weston Technologies untuk memusnahkan dunia maka dia bertekad untuk menggagalkan rancangan tersebut. Sementara itu Sam Weston mula meradang apabila Makmal Penyelidikan beliau diceroboh. Prototaip sistem senjata terbaru 'Mantera'(MAN-Armour Robotik Transformable Exo) pula telah disabotaj dan dimusnahkanSaintis utama beliau yang mengetuai pasukan penyelidikan iaitu Dr. Natasya pula telah melarikan diri tanpa dapat dikesan. Pembeli untuk teknologi baru ini iaitu pihak Dark Legion mula mendesak Sam untuk menyerahkan prototaip tersebut atau perjanjian itu akan dibatalkan serta merta. Manakala bangkai komponen serta serpihan bahagian - bahagian Mantera yang dimusnahkan tanpa sengaja telah dihantar ke bahagian lain di dunia dan ia diperoleh oleh seorang lelaki muda bernama Azman yang tinggal di Malaysia. Siapakah sebenarnya Azman dan apa yang membuatkan dia terpilih untuk melaksanakan misi ini? Saksikan filem Mantera untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Aku menerima sebuah komen daripada pembaca yang meminta aku membuat ulasan tentang filem ini. Pada mulanya aku tidak menunjukkan tanda - tanda yang aku berminat untuk menonton filem yang melalui posternya mengingatkan aku kepada filem Transformers namun segala - galanya berubah petang tadi. Jadi, apabila sesebuah filem bergenre fiksyen sains atau aksi ditayangkan maka apa yang penonton mahu saksikan pastilah tentang kehebatan kesan khas atau CGI yang terdapat di dalam filem tersebut serta aksi - aksi peperangan atau berlawan yang mampu memukau perhatian namun nampaknya terlalu banyak kelemahan yang wujud di dalam filem Mantera ini jika dinilai dari sudut tersebut.


Tomok


Ada yang berkata filem ini boleh dikategorikan sebagai filem Gred B jika ditayangkan di Hollywood. Ada juga yang berkata filem ini seperti filem animasi 3D apabila adegan - adegan yang melibatkan perlawanan antara robot - robot bermula. Pada pandangan aku pula filem ini tidak lah terlalu teruk kerana ada juga babak - babak yang melibatkan CGI yang boleh dibanggakan namun secara keseluruhannya aku kurang berpuas hati dengan tahap CGI yang ditonjolkan di dalam filem ini terutama adegan robot berlawan di dalam filem ini namun mungkin ini sebagai permulaan untuk Malaysia lebih maju di dalam filem bergenre sains fiksyen ini dan tahniah juga untuk anak - anak tempatan yang terlibat di dalam pembikinan adegan - adegan yang memaparkan kesan khas serta grafik yang memang cukup mencabar untuk disiapkan ini.


Bila Nak Tukar Gaya Rambut Nih Tomok?


Filem ini sebenarnya ada kisah yang tersendiri. Perjalanan awal ceritanya boleh dikatakan menarik namun ia tidak dimanfaatkan sebaiknya apabila banyak babak yang dipertontonkan kurang logik dan ada juga adegan yang boleh dikatakan tidak patut ada atau timbul secara tiba - tiba. Contohnya adegan yang melibatkan tiga orang pelajar samseng yang tidak berpuas hati dengan Azman. Aku pelik memikirkan adakah ini babak pelajar universiti atau pelajar sekolah menengah? Babak - babak yang melibatkan tiga orang pelajar samseng itu sangat membuang masa dan aku boleh katakan tanpa kewujudan babak itu pun langsung tidak memberi sebarang kesan kepada filem ini. Serius babak mereka bertiga langsung tidak membantu apa - apapun dan ia membuatkan aku letih memikirkan kenapa babak yang semak itu perlu wujud. Kenapa setiap filem yang memaparkan kisah superhero pasti bermula dengan si hero kelihatan skema, lurus bendul, lemah dan dibuli sebelum menjadi hebat apabila berada di dalam kostum superhero? Tiada pembaharuan dari segi itu.


Tiba - Tiba Aku Rasa Nak Belajar Bahasa Rusia! Hehe!


10 minit pertama filem ini merupakan babak yang aku cukup suka kerana ia membuatkan aku ternanti - nanti untuk mengetahui siapakah dua puak yang dikatakan pada permulaan cerita iaitu Dark Legion dan Alliance of Light namun segala - galanya berubah selepas itu. Aku kurang pasti tentang puak Dark Legion ini kerana adakah mereka ini makhluk asing atau manusia yang terkena radiasi dan bagaimana mereka boleh berurusan dengan pihak Weston Technologies juga tidak diketahui. Segala - galanya kabur dan kurang memberi motivasi pada aku untuk lebih fokus pada filem ini. Belum lagi babak yang melibatkan guru silat Azman yang sangat aneh, aksi pertarungan Azman yang ditonton oleh ramai rakan - rakannya seperti mereka menonton perlawanan bola sepak(adegan tersebut buat aku geleng kepala) serta betapa naifnya Azman mengikut sahaja apa yang orang lain suruh dia lakukan(babak antara Tomok dan Faezah Elai). Adakah watak Azman ini digambarkan sebagai seorang yang naif atau terlampau bodoh? Anda tentukan sendiri selepas menontonnya. Satu perkara lagi yang memeningkan aku ialah Azman memenangi permainan online di laman siber dan beliau menerima hadiah daripada pihak yang menganjurkan permainan tersebut. Hadiah itu pula ialah prototaip Mantera dan adakah permainan online tersebut dianjurkan oleh puak Alliance of Light? Mungkin!


Guru Silat Azman! Suara Dia Sedap!


Watak Azman(lakonan Tomok) juga kurang hidup dan sangat kaku terutamanya yang melibatkan babak romantis antara beliau dengan Deena(lakonan Asyikin Kamal). Mungkin ini filem sulung lakonan Tomok jadi memang banyak yang perlu Tomok pertingkatkan untuk menjadi salah seorang pelakon yang disegani selepas ini. Berlainan pula dengan Asyikin Kamal yang menampilkan lakonan yang lebih bertenaga berbanding lakonan beliau dalam filem Lagenda Budak Setan serta watak Kevin(lakonan Jayson) iaitu rakan Azman yang mampu membangkitkan rasa lucu penonton dan seterusnya menyelamatkan sedikit filem ini yang tampak lesu pada pertengahannya.


Jayson Yang Melakonkan Watak Kevin


Hanya ini sahaja ulasan yang mahu aku tuliskan mengenai filem Mantera ini. Walaupun masih banyak kelemahan yang terdapat di dalam filem ini namun diharapkan agar filem ini akan membuka hati penerbit - penerbit filem Malaysia untuk bekerjasama dengan penulis skrip serta pengarah untuk menghasilkan filem sebegini dengan kualiti yang lebih hebat dengan jalan cerita yang lebih asli dan menarik. Sekian!


P/S : Ulasan Filem Akan Datang - City of Ember  


Comments

  1. dah agak dah

    mesti berakhir ngn kekecewaan kalau melibatkan CGI

    Malaysia team belum mampu lagi, perlu byk belajar

    btw nnti ulas crita Vikingdom arahan & terbitan KRU plak ye

    ni antara product tempatan yg aku harap ok

    walau hikayat merong mahawangsa suam2 kuku hebat je

    harap filem nih hebat sbb aku dgr pelakon2 nya pn hebat

    TQ

    ReplyDelete
  2. herm ? takde rasa nak tengok. tapi cubalah sekali :)
    sokong filem kita ! tapi kan lagi best yang betul2 origanal dari Malaysia.

    ReplyDelete
  3. bagus ada usaha camni..
    tapi bile dah tengok, rase nak keluar je panggung cecepat..

    ReplyDelete
  4. permulaan yang bgs..hope filem tanah air kita akan trus diperbaiki..

    ReplyDelete
  5. Aku rasa lebih selamat kalau penerbit filem ini maintain dengan genre hantu, cinta, lawak atau gangster atau kombinasi di atas sbb penonton2 mcm aku tak suka filem2 camni. Lebih baik tengok filem Hollywood jer, harga tiket sama jer beb... Tambahan lagi la pelakon utamanya Tomok....geli...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Review Filem Sarkar

Review Filem Paskal The Movie

Pada Zaman Dahulu